CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
I ♥ ALLAH.. SYUKRAN DI ATAS KESUDIAN ANTA DAN ANTI KERANA SUDI SINGGAH DI SINI.. FI AMANILLAH

Wednesday, September 7, 2011

Kasih Ibu Ayah

Bismillahirahmanirahim..

Luahan hati seorang sahabat :

Kasih ibu membawa ke syurga. Kasih bapa bersemi selamanya.

Ibu ana seorang yang rajin bekerja untuk menyara keluarga. Kami tidak sesenang orang lain. Ibu dan ayah ana cuma bekerja menorah getah di samping ayah ana turut sering masuk ke hutan mencari petai. Ayah ana memang seorang yang kuat semangat. Dia pernah di timpa oleh batang kayu sehingga kini parut itu masih ada. Mungkin ramai yang tidak sanggup melakukan kerja seperti itu namun bagi ana kerja itu kerja mulia. Ana tidak mungkin akan jadi seperti hari ini jika bukan kerana ibu dan ayah ana. Mereka kekuatan ana. Mereka pendorong ana untuk terus memajukan diri ana. Mereka contoh yang terbaik buat ana. Mereka adalah sayap kiri dan kanan ana.

Masih jelas di ingatan ana sewaktu ana masih berada di sekolah rendah. Setiap kali cuti sekolah, kami semua adik beradik yang sewaktu itu 5 orang (abang ana yang sulung,kedua dan ketiga tidak tinggal bersama kami waktu itu) bersusah payah menolong ibu dan ayah kami di kebun getah. Masih terasa genggaman guni yang di gunakan untuk mengutip susu getah yang telah keras. Masih terasa peluh membasahi wajah ana ketika menarik karung guni yang berat itu untuk di kumpulkan di suatu tempat sebelum lori datang mengangkut. Masih terngiang-ngiang suara dengungan nyamuk yang cuba menghisap darah ana. Biarkan. Ana tidak kisah semua itu. Apa yang penting bagi ana ialah ana mampu meringankan sedikit beban ibu dan ayah ana.

Letih! Lelah! Apa yang ana rasakan itu tidak sehebat apa yang ibu dan ayah ana rasakan. Mereka tidak pernah menunjukkan rasa letih mereka kepada kami. Tidak pernah menunjukkan rasa lelah di hadapan kami. Peluh yang mengalir membasahi baju memberitahu ana bahawa bukan sedikit keringat yang mereka perah semata-mata untuk mendapatkan duit halal, untuk membesarkan anak-anak mereka.

2008. Tahun yang memberi tamparan hebat kepada ana dan keluarga. Ibu yang ana panggil mak telah di takdirkan pergi menemui Penciptanya pada usianya menginjak umur 43 tahun. Sewaktu ana masih di tingkatan 4. Sewaktu ana masih belum puas bermanja dengannya. Sewaktu ana masih belajar mengurus diri ana. Sewaktu ana masih belum matang dalam menghadapi hidup ini sendiri tanpa bantuan dari seorang ibu. Sewaktu ana masih memerlukan perhatian darinya. Ya Allah, besar ujianMu ini kepada ana.

Ana sedih. Namun ana bersyukur kerana Allah meminjamkan ibu kepada ana. Ibu ana pergi dengan derita yang di bawa bersama. Dia tidak pernah menunjukkan rasa sakitnya kepada kami adik beradik. Pernah suatu ketika kakak ana bertanya kepada ibu ana. “Mak, sakit ke kena cucuk dengan jarum?” Ibu ana hanya tersenyum sambil berkata, “ Tak sakit pun. Rasa macam kena gigit dengan semut.” Biarpun badannya penuh dengan lebam-lebam biru kerana kesilapan doctor mencucuknya sewaktu mengambil darah dan untuk memasukkan air ke dalam badan ibu ana namun dia masih mampu tersenyum. Ana yang melihat mampu merasai kesakitan itu apatah lagi ibu ana yang merasainya. Ah, ibu ana memang seorang yang kuat!

Sewaktu doctor mahu membedah ibu ana untuk mengambil air tulang belakang, ibu dan ayah ana hanya menurut. Tujuannya adalah untuk mengaetahui penyakit yang di hadapi oleh ibu ana. Waktu itu hanya ayah ana yamg menemani ibu ana. Mereka tidak tahu bahayanya pembedahan itu. Ibu ana hanya menurut kerana katanya dia mahu cepat sembuh. Mahu bersama-sama suami dan anak-anaknya. Dia tidak tahu bahawa risiko mengambil air tulang sum-sum itu adalah antara mati atau hidup namun hidup yang tidak akan sempurna dan normal.

Ibu ana tidak koma lama seperti orang lain selepas pembedahan. Ibu ana terjaga selepas 4 jam pembedahan itu. Dia menangis. Dia sakit. Dia mengadu kepada nenek ana namun hanya airmata yang kami dapat berikan. Dia pernah berdoa agar Allah mengambil nyawanya kerana sakit yang di alaminya tidak dapat di bayangkan dengan kata-kata. Doktor mengambil keputusan untuk mengkomakan ibu ana. Ana sempat berjumpa dengannya sebelum mata itu tertutup. Dia memandang ana namun dia tidak mengenali ana. Betapa luluh hati ana waktu itu. Ibu yang selama ini bersama ana tidak mengenali ana. Ibu ana pergi buat selama-lamanya pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Hilang sudah seorang anak Adam menuju ke alam kekal abadi.

Ana kehilangan sebelah sayap. Ketika itu ana rasakan seluruh hidup ana turut pergi bersamanya. Ana menangis. Ana terus menangis tanpa henti. Ya Allah, tabahkan hati ana. Kuatkan diri ana untuk menghadapi semua ini kerana ana yakin setiap yang hidup pasti akan mati. Ana bacakan surah Yassin untuk ibu ana. Ana kucup dahinya sebelum wajah itu di tutup kain putih. Ana tatap wajahnya buat kali terakhir sepuas-puasnya. Tenang. Tiada duka di wajah itu. Tiada keletihan terpamer di wajah itu. Di sini ana cuma mampu mendoakan kesejahteraan ibu ana. Semoga dia di tempatkan di kalangan orang yang beriman. Amin.



p/s : sayangi ibu anda kerana seorang ibu tidak akan dapat di beli di mana-mana jika kita kehilangannya. Ibu ibarat permata berharga yang sekali kita kehilangannya,dunia pun tidak mampu menjadi galang ganti untuk mengembalikan permata berharga itu. Sekadar renungan buat sahabat-sahabat ana.

0 comments:

Post a Comment

syukran